Ciri-ciri Organisasi ajaran sesat

Organisasi sebegini diperhatikan mempunyai ciri-ciri seperti berikut:

Doktrin atau pedoman

Setiap agama baru ini sama ada mempunyai kitab suci yang tersendiri mahupun mentafsir semula kitab agama sedia ada.[5] Para penganut agama-agama baru ini menyatakan bahawa kandungan atau intipati ajaran yang dibawa tidaklah baru, namun cuma "dilupakan" dan hanya menunggu dihidupkan semula dalam pengamalan ia.[6] Kitab ajaran ini seringkali menerapkan pengetahuan sains moden atas alasan ia menyatukan sains dan agama.[7] Ada juga dalam kalangan penganut sebegini yang percaya ia diturunkan mellaui suatu proses "pewahanaan" (mediumship).[8]

Pemikiran magis - pemikiran seseorang yang mempunyai kecenderungan mengaitkan fenomena fizikal dengan unsur-unsur alam ghaib turut dilibatkan dalam penyemaian kepercayaan sebegini, di mana individu yang berpemikiran magis senang dipengaruhi kelompok agama baru kerana ia bersesuaian dengan pengucapan ghaib yang turut ada dalam sesetengah anutan ini.

Kepimpinan

Seorang ketua dilantik dalam kalangan pengikut di mana dia dilihat penuh berkarisma[9], bahkan dipuja melampau hampir seperti dewa. Ketua ini biasanya mengenal diri sebagai nabi dan mempunyai kuasa-kuasa tertentu. Kelangsungan hayat sesebuah agama baru ini bergantung terus kepada hayat pengasas; yakni apabila seseorang pengasas itu meninggal dunia, agama yang ditubuhkan ini bisa terbubar begitu sahaja, berpecah menjadi kelompok lebih kecil ataupun berubah sepenuhnya daripada niat asal si pengasas, biasanya lebih mendekati anutan umum masyarakat majoriti.[10]

Tingkah laku

Para pengikut ia sentiasa menganggap golongan majoriti sebagai "bodoh" dan "sesat", serta sentiasa membenci masyarakat umum yang dianggap berdosa ataupun "kotor". Oleh itu, mereka akan mengelakkan diri daripada masyarakat umum, ataupun bersikap sebagai "penyelamat" apabila berdepan dengan orang umum. Penyertaan seseorang ke dalam sesautu OAS akan mengubah tingkah lakunya. OAS bukan sahaja mempegaruhi kehidupan seseorang dengan memberikan pelbagai ajaran kepadanya, malah kadang kala OAS juga menggunakan tindakan fizikal untuk mengawal ahlinya. Ini termasuk kawalan untuk bersosial dan juga kawalan bergerak.